Klik Jommm

Showing posts with label Pregnancy. Show all posts
Showing posts with label Pregnancy. Show all posts

Wednesday, April 4, 2012

Alhamdulillah

Eh, belum..belum. Orang didalam masih didalam, tak mau keluar lagi. Walau setiap hari tanya baby soalan yang sama "baby bila nak keluar, janganlah duduk lama sangat kat dalam, mehlah keluar, kat luar banyak menan (mainan) tau, lagi seronok dari duduk kat dalam". Suami setiap malam mengadap perut "baby, jomlah keluar, daddy tak sabar nak jumpa baby, meh daddy tunjuk jalan keluar, keluar kat sini tau" sambil tunjuk aku punya laluan. Hamboii daddy ko, siap ada arahan lagi eh.

Hari ni genap 38 minggu, alhamdulillah sepanjang mengandung aku takde problem sangat, sihat je, muntah pun sekali je lepas minum milo tin, lepas minum keluar balik milo, milo sahaja, nasi masih elok simpan di dalam, hehe, walau baru lepas makan nasi. Cuma masa first trimester tu aku pening setiap hari, dari celik mata sampai tidur balik, loya-loya tu biasa, suami dikata busuk pun biasa, tu jelah, yang lain ok, makan boleh saje, kalau tak takdelah berat naik sampai 3 kg sebulan. 

Masuk second trimester, sakit pinggang je, yang lain pun ok. Macamana aku sebelum pregnant, macam tu la jugak masa pregnant, happy je, tak sensitif sangat pun, cuma sekali je pernah menangis teresak-esak lepas mandi sebab sakit hati dengan suami tahap gaban, siap kunci pintu bilik menangis tersedu-sedu sambil berkemban..bahaha, drama sangat, En. Syg ketuk pintu banyak kali, aku buat tak tau je, ibarat kata kalau nampak suami depan mata memang nak "nyah kau dari sini!" punyalah sakit hati, terlampau sakit hati rasa nak pergi tampor dia. Tapi tak tampor la, kang durhaka pulak, so pergi baca yasin sambil nangis tersedu-sedu, siap buat air yasin tu tuk diri sendiri..drama lagi..haha

Mengidam pun tak sangat, teringin dengan mengidam lain kan. Kalau aku teringin takdelah dan-dan tu jugak kena cari, boleh main tangguh-tangguh, kang bila dah lelama hilang pulak keinginan tu, kang teringin benda lain pulak. Bertuah suami aku tau dapat aku yang tak banyak songeh ni ;)

Dah 38 minggu ni pun aku masih larat menguruskan rumah, masih memasak, masih memberus baju, masih mengemas rumah, menyapu sampah, mengemop lantai, semua pun ok lagi. Penat sikit tu adatlah, tapi aku larat lagi buat semua tu. Sekarang pun still drive pergi kerja sendiri, pergi checkup ulang alik dari Jelutong ke Serendah pun pergi sendiri. Aku tak bagi suami cuti, sebab aku nak dia cuti lama sikit masa baby dah lahir nanti. En. Syg hari-hari pun risau, asyik tanya ada sakit tak. Dia dah suruh aku start cuti 12 April ni, dah tak bagi aku masak and mengemas. Tapi aku tak bolehlah, kalau duduk rumah nak buat apa, boring je, lagipun aku larat lagi nak pergi kerja. Dah 2-3 hari aku batuk teruk, tadi kat klinik doktor nak bagi MC pun aku taknak, dah akhir-akhir ni, nak settlekan outstandinglah, lagipun tak habis briefing colleague aku lagi, tak senang hati kalau bersalin nanti kerja banyak pending. Bab memasak pulak aim aku nak habiskan barang dapur yang ada sekarang, lepas tu calooo makan luar. En. Syg asyik pelik je tengok aku ni larat lagi ke situ ke sini, parents aku pun tegur "kuat lagi eh awak"..ehekk, takdelah kuat sangat, sakit jugak kaki and pinggang kalau berdiri lama, tapi masih bearable. Bershopping mall pun aku larat lagi, berjalan takde hal lah. Tapi bila dah masuk 3rd trimester, dah kurang sakit pinggang, tak macam 2nd trimester dulu. Hopefully Allah permudahkan proses bersalin aku macamana Dia permudahkan aku masa mengandung ni.

En. Syg harap sangat baby lahir on his birthday 16 April ni, aku due 18 April on my bff birthday, parents aku pulak harap 12 April on their anniversary and birthday Along aku (Along lahir genap setahun my parents kawen), birthday bapa mertua 20 April, birthday Sara (anak Along aku) 21 April, birthday mak mertua 30 April (which is tak mungkin la kan). Haa ko berderet, kita tengok jelah masa birthday siapa baby nak keluar nanti.

"Baby bila baby nak keluar? banyak menan kat luar ni tau"


Thursday, March 29, 2012

Lately

Teramatlah suka makan benda manis, mulut asyik teringin yang manis-manis je. Aiskrim, coklat, moist choc cake, kalau dapat memang heaven, tu pun aku tahan-tahankan jugak keinginan, takut kalau asyik makan benda manis, tak elok pulak, kang berat naik mencanak-canak, baby pun besar, sape yang susah, akuuuuuu jugak. Satu lagi perangai buruk aku, aku tak boleh tinggalkan langsung kafein, walaupun dah tahu aku ni anemia, kadang-kadang aku nak jugak minum kafein, takdelah selalu, tapi kalau teringin tu aku minum jugak. Bad mommy betul, kadang-kadang marah jugak dengan diri sendiri, tapi tak boleh tahanlah kalau nampak teh, nak jugak rasa sikit. Lepas minum je kafein, aku mesti rasa bersalah, rasa macam aku ni pentingkan diri sendiri pulak..sobsss. Tapi aku tengah berazam taknak minum kafein langsung ni sampai bersalin, hopefully berjaya



Moist Choc Cake, beli kat Petronas otw balik dari office, banyak kali jugak aku makan ni, kadang kalau lalu Petronas, buat-buat hilang ingatan dekat kek ni..hehe




Aiskrim terbaik, ada sebulan tu, hari-hari nak makan Magnum, sampai En. Syg beli buat stok. Dapat suami yang melayan ni susah jugak, tu pun sampai sekarang kalau pergi beli barang dapur, dia mesti tanya "taknak beli aiskrim?" Aishhh, aku cakap taknak, walau hati meronta-ronta nak..bertahan..bertahan..



3 layer tea, minum sekali je, sorry baby, mummy teringinnnnnnnnnnnn sangat. Aku dari kecik memang biasa minum teh susu, sebab Pa aku suka minum, family aku breakfast, minum petang dan minum malam sebelum tidur wajib teh susu, hari-hari tau sampai sekarang (nasib baik family takde kencing manis). So nak meninggalkan teh selama 9 bulan adalah sesuatu yang luar biasa dan di luar kemampuan aku. Untuk mengelakkan aku minum teh hari-hari, aku memang tak beli teh langsung kat rumah. 

Bila mengandung ni, nak melawan nafsu makan or minum memang teramat susah, tekak asyik teringin je walaupun tau ada sesetengah makanan orang mengandung tak boleh makan, sushi and sashimi is one of da faveret, yang tu je aku mampu menahan diri dari makan, tu pun aku paksa suami sekali berpuasa sushi jugak, kesian dia dah berbulan-bulan tak makan. Dari zaman bercinta sampai sebelum pregnant dulu, setiap bulan without fail mesti pergi Sushi King at least sekali, tapi sekarang aku haramkan terus, nak kalu, kita pergi lepas saya habis pantang nanti ye bang.

Semua yang manis-manis diatas lah yang telah menyumbang kenaikan berat badan sebanyak 15kg ini..15kg?? pengsan. Eh tapi berat tengah menaik lagi ni, jangan sampai 20kg sudah..pitam nak turunkan balik.



Wednesday, March 28, 2012

Update

Lama aku hilang, minggu lepas bz sikit, takut tiba-tiba terbersalin, kerja semua tak settle. So minggu lepas memang pulun habis, kononnyalah. 2 hari ni datang office tetiba rasa macam takde kerja pulak..hehe. Hari Isnin, aku cuti pergi checkup. Bila doktor scan balik, baby baru 2.5kg lah..fuhhh boleh makan aiskrim semula, hari tu punyalah takut bila doktor kat Hospital Selayang cakap berat baby around 3-3.2kg, puasa aku makan aiskrim tau. Balik checkup terus order aiskrim satuuuuuuuuu kat En. Syg. Hari ni nak makan lagi sebenarnya.

Sekarang aktiviti aku dengan suami setiap kali malam Ahad, lepas balik dari Rawang adalah berjalan-jalan. Pergi isi minyak kereta untuk seminggu, lepas tu beli Magnum 2 makan dalam kereta sambil jalan-jalan pusing Shah Alam, sebab dah ada baby nanti, dah tak boleh jalan malam sangat, sekarang menikmati masa berdua-duaan. Dah bertiga-tigaan nanti tak dapat dah nak berjalan malam selalu. Tak elok bawak baby keluar malam kan. Lepas tu En. Syg biasalah keluar drama sedih dia

Dia: Dah ada baby nanti, mesti awak dah tak layan saya sangat kan

Aku: Hmmm (sambil kunyah2 eskrim Magnum, hoi sedap betullah eskrim ni, berlemaaaaakkkk je)

Dia: Sedihnya, nanti mesti saya terabai kan (terabai?? ko mampu terabai?? kelas sangat ayat suamiku)

Aku: Issshhh takdelah sayang, kalau tak nak terabai, kenalah tolong saya, so that saya ada masa nak layan awak jugak, kalau semua saya kena buat sendiri, memang lah tak sempat nak layan awak.

Itu ayat ulangan dia selalu, tapi selalu jugak diakhiri dengan "kalau terabai, terpaksalah saya cari gf lain" sambil senyum-senyum kambing. Tu ayat mengundang cubitan kecik di paha, wahhh kemain lagi niat ko ye. 

Ahad lepas, balik dari Rawang, kitaorang pergi Giant beli barang dapur, lepas tu melencong pusing Shah Alam and singgah kedai depan Plaza Alam Sentral minum air buah





Lebaunya muka..hidung pun sibuk nak melebau sama, jari pun, cincin kahwin dah tak muat. 

Aku dah potong rambut, tiada lagi rambut panjang mengurai tu, sebab takmo masa aku sibuk meneran, rambut pun sibuk nak berkeliaran sama, masuk dalam mulut, masuk lubang hidung, tapi still boleh ikat lah, kang menjerit pulak mak mertua aku tengok rambut pendek sangat, dia suruh simpan sikit nak ikat masa berpantang nanti.

Dah akhir-akhir pregnancy ni, kulit muka jadi macam masa mula-mula pregnant dulu, asyik naik jerawat, gila tertekan. Dulu masa mula-mula pregnant, jerawat naik mencanak-canak, besar gedabak pulak tu, lepas tu sepanjang pregnant, kulit licin je takde jerawat pun, ni sejak 2-3 minggu lepas, jerawat naik balik..sobsss..geram je tengok muka sendiri. 

Hari ni genap 37 minggu, baby dah full term, dah boleh keluar, tapi aku rasa baby belum engage lagi kot, sebab elok je aku berjalan, boleh kepit-kepit lagi macam anak dara, takde rasa ngilu lagi kat bawah tu, tapi braxton hicks agak kerap sekarang, asyik mengeras je. Oklah, nak buat kerja, korang yang baca entry ni, doakan aku selamat bersalin nanti eh, manalah tau, lepas ni tak sempat nak update dah ke. Bye


Monday, March 19, 2012

Are you ready?

Dah nak masuk 9 bulan, syukur alhamdulillah, aku dan baby masih sihat dan semoga terus sihat sampai bila-bila. How time flies, tak sangka tak lama lagi dah nak jadi ibu. Rasa macam baru lagi buat pregnancy test dan berdebar-debar tunggu En. syg sampai rumah sebab nak jerit "We are pregnant!". Ingat lagi muka En. Syg senyum terkoya-koya sambil tanya "Ye ke sayang, ye ke?" sambil sibuk nak tangkap aku sebab nak peluk..hehehe. Dah nak jadi ibulah bulan depan. Ibu?? ibu?? rasa macam suci sangat bunyinya, rasa macam tak layak. Banyak sangat dosa aku, tapi Allah tu adil sangatkan, tetap jugak bagi aku rasa nikmat bakal jadi ibu. Eh, aku termenangis la, kenapa tetiba emo ni. Tak pernah sangka yang satu hari nanti akan jadi ibu jugak, terima kasih Tuhan, semoga nikmat yang satu ni sentiasa berpanjangan. Semalam on the way balik dari Rawang, dengar satu lagu sape tah nyanyi, lagu untuk ibu, tetiba terfeeling lagu tu ditujukan untuk diri sendiri..hehe.

Bila dah hujung-hujung ni soalan biasa yang orang tanya

"Dah ready ke?"
"Tak takut nak bersalin?"

Maunya tak takut, ngeri, seriau semua ada, membayangkan kena menahan sakit contraction berjam-jam, sakit nak push baby keluar, kena gunting dan jahit, maunya tak takut, aku yang jenis kena pisau sikit pun boleh menangis berjam-jam. Menangis-nangis call suami masa first time nak buat buku pink sebab kena ambik darah, gila air mata macam air terjun depan bilik ambik darah tu sebab terlampau takut. Maunya tak takut, takut ok. Takut gila, tapi dah takde pilihan, kena beranak jugak, takkan nak simpan dalam perut je kot. Tu pun hari-hari pesan kat baby "Baby, jangan besar sangat tau, nanti mummy takut nak push" wahhh pesanan ko kan, tapi makan tak ingat dunia jugak, jap-jap makan aiskrim, jap lagi nak fastfood, jap lagi nak coklat, semua benda menggemukkan ko suka, lepas tu buat pesanan penaja kat baby. Baby pun jawab "Sorry mummy, saya terpaksa membesar dengan semua makanan yang mummy makan". Eh apehal psycho sangat aku ni siap ada jawapan dari baby T_T. Ni pun jap lagi nak pergi 7E sebab teringinnnnnnnnnnnnnnn sesangat nak makan sepapan cadbury, sepapan ok sepapan. "Baby, cadbury ni mummy punya tau, baby jangan makan, untuk perut mummy je". Baby pun jawab "Tengoklah cane nanti" hoi psycho gila.

Kalau bercakap bab bersalin memanglah takut, tapi sekarang aku mengamalkan konsep tak mau fikir tapi banyakkan berdoa. Bila sampai harinya kita redah je. Kalau sakit, kutahankan labu, kalau sakit sangat, ku genggam tangan suami kuat-kuat, sakit lagi kugigit suami, sakit jugak, ku pengsankan diri, ok-ok tak, ku mintak ubat tahan sakit la. Orang suruh push, kita push, orang jahit kita tahan. Sampai begitu sekali aku setkan dalam kepala, nak positif je, orang lain boleh, aku pun mesti boleh. Lagipun semua sakit tu berbaloi-baloi bila dah tengok baby sendiri nanti, insyaallah dan setiap hari aku berdoa moga tuhan permudahkan proses bersalin aku. Doakan yang baik-baik untuk aku eh. I love you baby A, and I love you more Daddy A


Gambar curik

Dia: Eh, awak dah nak bersalin bulan depan, takutnya nak jadi daddy..

(lepas tu mesti test suara panggil nama baby buat-buat marah, berlatih la konon, feeling sangatkan orang tu, baby belum lahir dah nak berlatih cara nak marah anak)

Aku: T_T Patutnya saya yang lagi takutlah sayang

So are you ready?
Ready tak ready..redah je, mesti boleh punyalah

Monday, March 5, 2012

Perbualan Suami Isteri

Malam semalam sebelum tidur, berbaring dalam gelap, En. Syg letak tangan dia atas perut aku, sambil baby menunjuk kebolehan berputar-putar secara berkala pada daddy dia..ngade sangat. Lepas tu En. Syg tanya aku

Dia: Macam mana nak tau kalau awak dah nak bersalin eh? Bila masa kita nak pergi hospital?

Aku: Ohhh dia ada banyak cara (cara??), ada orang rasa contraction makin kerap baru pergi hospital, ada orang keluar lendir and darah, ada orang terus pecah air ketuban.

Dia: Oooo awak nanti macamana?

Aku: Macamana?? manalah saya tau

Dia: Ohh tak boleh pilih ke?

Aku: Taklah sayangggggggggg..hahaha, mana boleh pilih nak yang mana satu, lain orang lainlah, ikut nasib..hahahaha

Dia: Ye ke? saya ingat boleh pilih.

Kalau cara bersalin ni boleh main pilih-pilih, macam tu aku nak pilih bersalin tanpa rasa sakit sikit pun..boleh?



Percubaan posing gambar passport sambil minum watermelon juice, kenapa comel dan innocent sangat pertanyaan anda suami??




Percubaan si hidung kembang membuat muka comel, tapi tetap tak jadi. Ni Sabtu lepas kitaorang pergi Lavender, Bukit Tinggi, kenapa roti dia tak sedap..kenapa?..kenapa?

Dia: Sayang, orang mengandung ni memang hidung akan mengembang eh?

Aku: a'ah kenapa? Saya rasalah

Dia: Patutlah hidung awak kembang, dulu dah sedia kembang, sekarang makin kembang

Aku: Fine, sayang fine (sambil berlalu pergi dengan tenang..haha)

Lepas tu setiap kali ambik gambar aku, mesti nak cakap "Ya allah, kembangnya hidung". Baiklahhhhh..haha aku tak ambik hati pun, setiap kali dia cakap pasal hidung kembang, mesti kitaorang 2-2 ketawa, sebab lepas tu aku mengata dia balik..si hidung kembang ni lah yang paling kau cintai kan ;)


Thursday, February 16, 2012

First time

Lately badan cepat penat, kalau baring, rasa taknak bangun, kalau salah duduk, sakit pinggang, kaki kejap bengkak kejap surut. Nak layan suami pun malas kekadang, nak pulak dapat suami yang tak boleh aku hilang kejap. Dah bagitau nak masuk toilet, tak sampai 5 minit dengar dia terjerit-jerit "Rin, rin awak kat mana?". Kalau tak menyahut, sungguh dia bangun pergi cari, semata nak tanya buat apa. Macam semalam aku dah cakap nak tengok tv, dia nak tidur dulu, sekali terjaga dah terjerit cari aku "Syg buat ape? tak mengantuk ke?". Aiyoohh nak berkepit je, mentanglah sekarang ai seksi..eh..haha (dulu kan kurus keding)

Ok mukadimah melalut, En. Syg tak pernah temankan aku buat checkup kat KK, bukan aku tanak ajak, aku rasa membuang masa je, bukan dia boleh masuk sekali bilik doktor pun. Setiap kali checkup, sehari sebelum baru aku bagitau "esok saya checkup" dia mesti marah sebab dia nak amik cuti nak temankan., aku pulak bagitau sehari sebelum, tak sempatlah nak amik cuti. Tapi last week dia ambik cuti sebab nak temankan jugak, ok baiklah, mehlah temankan.



Bangun pagi, sikat rambut leper, temankan isteri, lepas tu isteri ada tegur pasal something, terus kecik hati, diam main game, asyik kecik hati je skarang mentanglah ai seksi..eh



Lepas tu bila tau aku amik gambar untuk blog, terus nak tolong capture skali, dah hilang kecik hati. Kecik hati di postpone hari lain.



Nurse kat KK Serendah semua baik dan lemah lembut, suka.

Dah tu je entry hari ni, wassalam ;)


Thursday, February 9, 2012

Kenduri Doa Selamat

Syukur alhamdulillah, settle jugak akhirnya. Mulanya kitaorang nak buat kenduri ni masa cuti CNY hari tu, tapi tak jadi, so postpone masa cuti 4 hari baru ni. Aku buat di Temerloh, buat tahlil dan doa selamat di masjid je. Tu pun berebut slot dengan orang lain. Aku buat hari Sabtu lepas Asar.  Sabtu malam dah ada orang nak buat kenduri doa selamat Ahad tak boleh sebab masjid nak buat persiapan Maulidur Rasul, Isnin sambutan Maulidur Rasul di masjid, Isnin sah-sahlah aku dah nak balik Shah Alam, so Sabtu pagi gerak dari Shah Alam sampai je rumah, Ma dengan adik-adik aku sibuk masak kat dapur. Menu adalah laksa, pulut kuning dan 3 jenis kuih. Tu Ma yang decide, i folloowww



Pemotong limau, aku sakit pinggang duk potong timun sorang-sorang, so aku meh meh kan dia. Meh sayang meh, meh tolong meh. Lepas habis potong limau, dia pulak sakit pinggang, eh bukan sakit pinggang je, sakit perut, mengantuk, semualah, terus berhenti lepas tu sambung tengok tv, cis betul, alasan semata.

Rumah aku bersepah-sepah kan, ni bukan rumah ni bilik stor..haha, rumah baru tengah buat lagi, tah bila nak siapnya tah.



Pulut in progress, laksa dah siap masa ni




Nak dapat satu tupperware, hilang pinggang rasanya



Jemputan



Masa ni aku tengah sibuk isi laksa dan bahan-bahan dalam mangkuk, lupa terus nak ambik gambar sendiri, tapi kenduri adalah sukses, dapatlah air doa selamat 2 botol.

Kenduri settle, goal bulan ni nak settlekan semua barang baby, takmo tangguh lagi dah.


Wednesday, February 8, 2012

Makan-makan

Bila pregnant, makan menjadi sangat best. Selera makan pun bertambah-tambah. Kalau ikut hati semua pun sedap, tapi bila berat aku cepat sangat naik, aku memang jaga makan jugaklah, kalau dulu aiskrim setiap hari, sekarang aku haramkan En. Syg beli aiskrim letak dalam fridge, aku takut kalau tak jaga makan, kencing manis pulak aku nanti, kalau tak kencing manis takut susah pulak nak turun lepas bersalin. Sekarang dah 60kg, kalau aku makan sesedap tekak, dan lepas bersalin setakat turun sampai 50kg je, memang naya la nak beli semua baju baru, dulu sebelum kahwin berat 43kg - 45kg je, menangislah kalau tak boleh pakai balik skinny jeans kesayangan. Tapi takdelah pulak aku sampai sekat makan, kalau teringin tu aku makan jugak



Hari tu teringin sangat nak makan bubur Uncle Lim, so lunchtime pergi Subang Parade, heaven gila dapat makan sebab dah lama sangat tak makan bubur ni.



Bubur nasi berlauk kat Night Circle, Seksyen 11, Shah Alam, tempat makan fav jugak ni



 Masa pregnant 5 bulan, aku asyik nak makan Nasi Ayam je, lunch makan nasi ayam, dinner nasi ayam, kalau boleh hari-hari nak makan nasi ayam, ni nasi ayam kat PapaRich.



Manggis, aku tak pernah cakap kat mertua aku suka makan manggis, tapi masa aku balik rumah mertua, dia nampak aku makan manggis dengan bersungguh-sungguh, so hari tu masa mak pak mertua datang rumah tunggu orang hantar washing machine (washing machine baru beli, kitaorang tak boleh cuti, so mintak tolong diaorang tolong tunggu orang hantar), balik kerja petang tu aku tengok ada manggis kat dapur. Ehehe gumbira, diaorang belikan sebab diaorang tengok aku suka manggis..sob..sob terharu

*
*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*





Akibat banyak makan..montelnya beliau..hehe, kalau tengok diri sendiri, aku rasa badan aku sama je macam sebelum pregnant, tapi bila tengok gambar baru perasan betapa montelnya aku sekarang..haha dasar


Friday, January 27, 2012

Nama Baby

Dulu sebelum kahwin, bila cakap pasal nama anak, En. Syg mesti cakap:

"Kalau saya ada anak nanti, nama dia kena mula dengan huruf A, sebab saya nak anak saya jadi yang pertama, berani, selalu ke depan and saya nak nama ringkas je, AMNI, cukup"

issshhh aku tak boleh betul, kalau nama mula dengan huruf A aku tak kisah, tapi kalau nama anak seketul je, kesian la pulak, rasa macam tak cukup, tak sampai, tak puas nak sebut..haha. 2 suku kata nice, tapi kalau 3, kesian pulak, sebab banyak sangat. 

Perkara pertama yang kitaorang bincangkan bila je tau aku pregnant selain brand stroller adalah nama anak. Hari-hari balik kerja mesti bawak balik nama baru, tapi semua bermula dengan huruf A lah. Aku selalu cari nama baby girl, En. Syg cari nama baby boy. Punyalah feeling kata ko, budak baru nak jadi dalam perut, mak ayah sibuk nak namakan dah.  Dari satu suku kata, dah jadi 2, tiba-tiba En. Syg ok pulak. Dia pernah suggest satu nama baby boy kat aku, dia kan suka main golf, so nama pemain golflah yang dia suggest. Aku suka nama tu tapi cari punya cari takde makna, so aku reject. Dah jangan ko ingat dia nak bagi nama Tiger Woods pulak, aku meroyan dulu nanti. Zaman sekarang bukan macam zaman dulu, bagi nama ikut sedap bunyi je. Zaman sekarang orang dah berilmu bagi nama anak bunyi cantik, makna baik, walaupun takde makna dalam Bahasa Arab, tak kisahlah BM ke Parsi ke, asalkan ada makna yang baik.

Macam nama En. Syg: Asrul Sani, dia anak kedua sebenarnya, tapi arwah abang dia meninggal lepas seminggu lahir, so sekarang dia jadi anak pertama. Makna nama En. Syg "rahsia kedua" begitu dalam maksudnya. Tu pasallah kalau aku tanya sikit contoh "Syg nak pergi mana" jawab dia "Rahsia", nak je aku gigit-gigit budak ni, manjang dia jawab rahsia, tapi tu jawapan masa nak bergurau lah, kalau serius sibuk nak jawab rahsia, aku pok kan aje. Nama aku pulak: Jasrina, tu nama hasil gabungan nama Pa: JAmaludin dan nama Ma: SeRIah, jadilah Jasri. Nama Along aku Jasriwati, lepas aku lahir Pa terus daftar Jasrina. Bengkek gila Ma aku masa tu, sebab dia nak nama yang ada makna, so lepas tu setiap kali dapat baby baru, Ma aku akan cari nama siap-siap, so 4 orang nama adik aku semua ada makna, kitaorang berdua je takde..sobss. Tapi sebab nama aku adalah pemberian Pa, nama aku tetap cantik, cuma takde makna jelah..boleh tak nak perasan gitu.

Masa pilih nama untuk baby, takde problem pun, aku pun surprise, sebab nama yang En. Syg suka, aku pun suka, takde gaduh, takde kecik hati, takde merajuk. En. Syg suggest satu nama masa kitaorang dalam kereta, dan satu lagi aku suggest masa kitaorang tengah baring-baring sebelum tidur, that's it, DONE. 2 suku kata bermula dengan A, nak cari nama lelaki huruf A sangatlah susah. Satu lagi nama yang En. Syg suggest memang dah lama aku suka, aku selalu membayangkan orang yang ada nama tu orangnya hensem, tinggi, putih, alim-alim, baik hati, semua yang baik-baiklah. So bila En. Syg sebut je aku terus OK. Sekarang dah start panggil baby dengan nama dia. Semoga anak aku ni "cantik" rupanya, "cantik" kelakuannya, dan "cantik" hatinya secantik namanya, insyaallah amin. Mummy luv u baby..eh tiba-tiba sangat.

Wednesday, January 18, 2012

Wordless Wednesday


Hari-hari balik kerja, ini yang aku terjah dulu. Vanilla aiskrim curah coklat Hershey..woahhh heaven i tell u. Lepas tu berat naik menggebu-gebu, lepas tu kena minum air gula, sekarang aku haramkan En. Syg beli aiskrim sampai aku bersalin..ceyy ceyyy..suami beli, tapi aku yang habiskan sorang-sorang, En. Syg sempat makan sekali je.  Sekian..saya yang insaf T_T

Tuesday, January 17, 2012

Kesibukan

Hi darlingsss..aku bz sangat, sebab semalam dah cuti 1 hari pergi check up, petang semalam ingat nak singgah office jugak, sambung kerja melambak-lambak, tapi otw dah nak sampai office, orang Astro call nak pasang Astro kat rumah, patah balik rumah pulak. Check up semalam berat naik 0.4kg dalam masa 2 minggu, hoii tak percaya betullah, first time tu, selalunya 2 minggu aku boleh naik dekat 2kg.

Currently aku makan ini:




Baru start makan masa 6 bulan hari tu, eh sekarang pun 6 bulan jugak, tapi dah 6 bulan 3 minggu lah. Dah lama aim nak beli, tapi asyiklah lupaaaaaaaaaa manjang, so bila teringat je hari tu, terus ku gagahi kaki berjalan ke Watson kat Taipan nun, beli jugak, takut nanti lupa lagi. Ok, update pendek je..babai

Hei mengantuk betullah hari ni..

Friday, January 6, 2012

Boy or Girl

Sebelum tau gender, En. Syg selalu cakap kalau boleh anak first biarlah lelaki, boleh jaga family, jaga adik-adik, jaga mummy, bila daddy dah takde. Tapi kalau perempuan pun dia tak kisah, cuma kalau boleh lelaki biarlah lelaki, ko paham ke tidak ayat aku ni...haha, berputar-putar.

Masa baru 2 bulan pregnant, bapa mertua cakap instinct dia, baby aku lelaki. 3-3 adik ipar pun cakap diaorang rasa lelaki. Adik ipar yang bongsu asyik cakap, "adik nak baby boy". Amboi..haha, kalau tanya aku, aku tak tau, aku kalau boleh tak nak setkan mind aku, aku nak lelaki or aku nak perempuan. Aku takut kalau aku berharap sangat, bila tau gender baby sebaliknya, aku kecewa, ni anak aku, so aku tak kisah, lelaki ok, perempuan pun ok. Lagipun baru anak first kan, kalau this time dapat perempuan, next time pun boleh beranak lagi apa.

Kalau ikut side aku pulak, of course semua orang harap this time anak aku lelaki, sebab parents aku dah ada 2 cucu perempuan. Hari tu Pa tengok perut aku dia cakap "Pa rasa anak awak lelaki ni" yakin je kan, padahal masa adik ipar aku pregnant dulu pun dia cakap camtu, tapi bila keluar perempuan. Bila aku tanya Ma, Ma cakap dia rasa perempuan sebab aku suka memasak. "Eh Ma, mana ada angah suka memasak, terpaksa memasak ok sebab dah kahwin". Akak sebelah rumah masa aku duduk kat Subang dulu pun cakap baby aku perempuan sebab dia tengok perut aku bulat. Akak kedai makan yang selalu aku pergi waktu lunch cakap "baby girl ni"Budak office pulak cakap baby aku boy sebab aku berseri-seri, aku taktau lah pulak yang berseri bagi orang pregnant ni adalah muka berminyak tak berbedak, jerawat naik mencanak-canak, rambut gerbang-gerbang cam ponti, muka berkerut-kerut menahan pening..or aku ni sememangnya mempunyai kecantikan semulajadi yang aku sendiri pun tak perasan..hak hak tuihh..haha

So ko rasa anak aku boy ke girl??

*
*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*
*

*

*

*

*

*

*

*


Dah 2 kali scan, and 2-2 doktor cakap

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*
*

*

*

*

*

*

*

*

"I can see a penis"

Yes darling, it's a BOY. En. Syg senyum lebar, dia kata melompat dalam hati. Adik ipar aku asyik cakap "eeee cepatlah baby lahir, tak sabar!!". Ma aku asyik panggil nama cucu je (aku dah ada nama untuk anak aku sebenarnya). Hari tu kirim Mee Kari dari Pahang siap cakap "Ni untuk ______ (nama baby aku). Pa aku bila main dengan cucu perempuan dia, asyik cakap, lepas ni dapat cucu lelaki pulak. Budak office cakap "saya dah agak dah". Aku serius tak kisah, tapi tetap happy sebab boleh buat orang lain happy yang penting baby sihat dan sempurna. Tapi dalam happy tu pun aku still takmo terlalu berharap, kang tetiba kuar baby girl, tu aku kira kuasa Tuhanlah. Walau apa pun gender baby aku tetap bersyukur. Pray for us guys, moga semuanya baik baik je nanti.

Thursday, December 29, 2011

Pengidaman Hari Ini


Hari ni teringin nak minum bandung cincau, teringat-ingat minggu lepas ada beli bandung cincau lemakkkkkkk je rasa dia. Dari pukul 12 tadi dah, mula-mula aku buat tak tau, malas nak menapak punya pasal (lunch hari ni officemate tolong tapaukan) tapi sampai pukul 4 ni asyik teringat je. So terkedek-kedeklah aku sorang pergi beli bandung cincau sambil membawa pinggang yang sakit ni. Sampai USJ Murni (restoran dekat office aku) 

"cincau takde kak"

Dahlah penat aku berjalan, nak tak nak terpaksalah jugak beli air bandung je, boleh tahan lemak jugak rasa dia, kalau ada cincau ni lagi umpphhh. Aku ni jarang sangat mengidam yang teringat-ingat berhari-hari kalau tak dapat. Macam minggu lepas aku teringin nak minum Coolblog Chocolate, tapi malas nak pergi Mydin nun semata nak beli Coolblog. Aku pesan je kat En. Syg, tapi bila mengenangkan dia balik jauh-jauh dari Damansara, mengadap jam lagi, sampai umah pun dah dekat pukul 9, aku cakap dengan dia, takpelah aku tunda je pengidaman aku, dapat pulak laki lurus macam tiang, dia cakap "OK". Walaupun dalam hati, sweetnya lah kalau tetiba dia bawak balik Coolblog tu eventhough aku cakap tak payah. Kalau aku cakap camtu kat dia, mesti dia cakap 

"Perempuan ni complicated la, nak cakaplah nak, tak nak cakap taknak, ni mulut cakap lain, hati nak lain..ishhh tak faham"..haha

dan sampai hari ni pun aku belum minum lagi Coolblog tu, dah lupa dah.

Tuesday, December 6, 2011

Magazine ibu ibu

Hoi, bz gilelah sekarang, nak update memang tak sempat, ni pun curi-curi jek. Kerja beratur menunggu giliran, nasib baik setiap kerja ada commission, tu yang buat semangat sikit, walau kekadang pening jugak, tapi bila memikirkan duit mengalir masuk, huii bahagia.
Ok, mari cerita pasal magazine ibu-ibu mengandung, orang dulu-dulu tak macam kita, banyak info pasal pregnancy boleh dapat especially thru internetlah kan. Tapi kalau tak baca magazine ibu-ibu ni macam tak lengkap pulak, tapi kalau ko terlebih baca pun bahaya jugak, sebab bila too much info ko akan jadi takut, makan ni tak boleh, makan tu tak boleh, kalau ko makan anak ko akan jadi begini2 atau begitu2. Macam pagi tadi baru terbaca fluorida adalah bahaya untuk ibu mengandung, nanti anak cacat..ehhh, kose aku, semua pun tak boleh, mak kita dulu boleh je, sihat walafiat je anaknya. Orang yang buat iklan pun agak-agaklah, punyalah nak bagi laku produk dia, siap buat statement camtu, menakutkan ok. Kekdahnya orang sekarang apa pun tak boleh, makan ikan tenggiri pun tak boleh, aku tanya mak mertua, dia kata dia ok je dulu, boleh je makan. Ntah tak paham, nasib baik aku tak suka sangat ikan tenggiri. Itu info yang aku dapat dari magazinelah. Kadang-kadang bila terbaca, baru recall balik "eh, alamak hari tu aku ada makan la" pastu mulalah risau..haishhh. Yang penting sebenarnya doa banyak2 dan tawakal jelah. Baru-baru ni jugak terbaca, kalau ko pregnant baby boy, tak boleh pakai perfume, sebab takut anak ko ada masalah kesuburan..hoii choilah, takkan nak biar ketiak berkerak bau dek orang pulak..memacamlah. Eh, info aku bagitau korang ni dah buat korang takut ke? hehe

Kalau cakap pasal magazine ibu-ibu ni, of courselah ko akan ingat PaMa kan, tulah magazine paling glamer pun, tapi kalau magazine glamer2 ni, iklan dia pun aduhaiiii lagi banyak dari info. So, aku baca magazine ni....



 Ok, En. Syg yang beli tetiap bulan, aku baca je, masa mula-mula pregnant kan bulan puasa, tetiba je En. Syg balik bawak Mami Baby, cover dia Sheera ngan baby dia. 5 bulan, 5 mag.




Ni keluaran Disember, comel kan budak ni, rasa nak tenung hari-hari. "baby, baby laki ke pompuan?" Dapat baby girl, comelnye la haiii, eh tak kisahlah. Ok, nak balik, nak buat mashed potato hari ni, teringinnnnnnnn sangat. Bye


Friday, December 2, 2011

Stretchmark cream saya

Bila blogwalking semua orang cerita pasal persiapan barang baby, beli baju, beli lampin, beli kasut..huiii seronok. Aku?? satu pun tak beli lagi, bukan tak excited, excited tapi insyaallah, panjang umur, murah rezeki bulan ni aku dengan En. Syg akan pindah rumah sendiri. So, takmo la kalut nak pindah rumah, kalut beli barang baby, nak mengangkut sana sini payah la pulak, dah elok settle pindah rumah, baru nak start kumpul barang baby tu pasal sekarang tak sabar nak pindah, baju baby melambai-lambai mintak dibeli..haha. 

Excited diam-diam, semalam pergi Mydin USJ beli barang dapur, saja lah singgah tempat baby, saja feeling-feeling sendiri tengok baju, tilam, seronoknya..tak sabar nak beli, dah beli nanti mesti hari-hari duk cium baju baby je kan, psycho gila serius tak sabar nak scan minggu depan nak tau gender

Ok sekarang nak cerita pasal stretchmark cream, dulu masa belum kahwin, bila tengok officemate pregnant, siap bagitahu dia, nanti belilah Bio Oil, elok untuk stretchmark, wahhh orang lain pregnant ko lebih-lebih pulak kan, takdelah aku tolong dia je, sebab dia tau aku banyak baca blog, so taulah sikit-sikit pasal pregnancy ni. 

So bila masa sendiri pregnant, dalam sebulan lebih tu aku dah sibuk survey pasal stretchmark cream, aku terbaca dalam suratkhabar pasal Pureen stretchmark cream ni, sebab kat iklan tulis ada cocoa butter, shea butter, collagen kejadah-kejadah, En. Syg nak belikan Bio Oil aku taknak, nak jugak yang Pureen ni, ke hulu ke hilir cari kat butik baby, tak jumpa. En. Syg suggest yang lain pun tak mau, dia cakap aku adalah perempuan yang selalu terpengaruh dengan iklan..mana adee ohhhh. Akhirnya En. Syg jumpa dekat Guardian (eh tapi semalam dah jumpa dekat Mydin, harga RM28++) dan dia belikan, masa tu baru pregnant sebulan lebih, perut aku oversize, sebulan lebih pun dah besar, so aku start apply stretchmark cream ni dari awal pregnant sampai sekarang dengan harapan tak wujudlah stretchmark kat perut aku ni, sampai sekarang hari-hari suh En. Syg tengok perut kotlah ada stretchmark yang aku tak nampak, alhamdulillah takde lagi.

"Tapi kat bon-bon ada selulit sayang..1..2..3" gigih kira selulit kat bon aku

"Tak payahlah kira!"

Pastu dia mintak stretchmark cream aku nak sapu kat bon, aku taktau la berhasil ke tak stretchmark cream ni dekat selulit..haha 



 Baru sebotol tak habis-habis, asyik lupa je nak sapu 2x sehari, kadang sapu sekali je, kadang lupa langsung.


Tuesday, November 22, 2011

Hai

Ok tajuk memang takde kena mengena dengan isi karangan hari ni. Eh, hari tu En. Syg terbeli sesikat pisang yang mengandungi 4 biji pisang kembar siam (ayat). Aku nak makan, En. Syg tak kasi, fine, aku tak tau apa relevennya, tapi menjadi isteri yang mithali, aku makan jelah pisang yang single, sampailah akhirnya pisang habis dan yang tinggal hanyalah pisang kembar siam

Aku: Syg, rin nak makan pisang, tapi pisang single dah habis tinggal yang kembar ni je, tapi syg tak kasi rin makan

En. Syg: Hmm makan jelah..

Aku: OK (laju capai pisang terakhir)



 Kenyang, sampai tak larat nak habiskan

Ok, cerita pasal checkup kat KK hari semalam. HB dah naik 11.2 tapi tetap kena makan iron tablet 2 kali sehari, nak maintain HB, berat pun naik 1kg dalam masa 2 minggu, kenapa badan cepat betul menyimpan lemak sekarang? akibatnya minum air gula bulan depan..sobss


Tuesday, November 15, 2011

18 weeks ++

Syukur alhamdulillah, dah 18 minggu, so far i'm doing ok. Ok lah, pening datang sekali-sekala je, loya pun sekali sekala jugak, taklah hilang terus semuanya. Aku rasa aku ni one happy pregnant lady, jarang sangat lah aku sensitif ni, kalau menangis pun sebab makanan je, sebab hari tu aku nak makan durian sangattttttt, menangis sebab durian yang dibeli tak sedap..haha ngada je. Dahlah tak boleh makan banyak, of courselah aku nak makan 2-3 butir durian yang lemak berkrim disukai ramai, alih-alih dapat yang hampeh belaka, sakit hatiku.

Hari tu masa 17 minggu buat checkup kat KK, hb pulak rendah 10.5 je, berat naik sampai 3.5kg..sobsss. Masa mengandung ni berat naik mencanak-canak, sampai aku jadi takut nak makan. Lagi 2 minggu meh datang KK lagi, nak check hb sekali lagi. Sabar jelah, masa 3 bulan hari tu darah tinggi, sekarang hb pulak, 6 bulan nanti doktor suruh minum air gula pulak, sebab berat naik banyak sangat, nasib baik family takde diabetes, tu pasal dia postpone sampai kandungan 6 bulan. Hopefully baby aku sihat. Tak sabar nak scan next month nak tengok gender, lepas tu boleh start berangan nak letak nama apa, nak beli baju cemana..oh..ohh tak sabar.

Hari tu scan masa 4 bulan baby tengah tidur, dia ek ek sikit je, aku scan pun dah malam dalam pukul 10 kot sebab sakit perut teramat. Oklah aku update ni pun buat syarat je, sebab kalau tak update sehari, En. Syg denda RM2 kena masuk tabung baby. En. Syg pulak akan bayar aku RM5 untuk setiap follower yang bertambah, pun aku masuk kan dalam tabung baby. Lepas tu sekarang pantang nampak duit 50sen sekeping, kitaorang kumpul letak dalam tabung pun untuk baby. Kayalah baby cani, nanti bleh mummy pinjam sket.

Monday, October 31, 2011

Maternity wear

Alhamdulillah hari ni dah 4 bulan. Dah lama tak update, minggu lepas memang tak sihat, 2 hari sakit perut, Jumaat MC. Bila scan, baby ok, yang tak oknya aku, perut masuk angin, seksa gila, ni sebab kurang selera makan lately, makan nasi sejemput je. Lepas tu merasalah masuk angin 2 hari, sakit sampai tak boleh tidur, menangis-nangis. Syukur dah sihat. Tapi lately loya makin menjadi-jadi, pantang bersin, bersinnya pendek je, loya yang melebih-lebih. Masa 3 bulan hari tu, aku takdelah niat nak beli baju mengandung lagi, awal sangat kot, lagipun malulah nak pakai awal2 walaupun perut aku orang tegur dah macam 5 bulan..sobsss. Tapi masa aku balik Rawang ke rumah mertua hari tu, ibu mertuaku yang comel tanya "dah tengok baju yang mak beli untuk ko?" 






Cantik tapi besar sikitlah, aku ingat dah 3rd trimester baru nak pakai baju ni kot. Susah-susah je mak ni *_*. Ni lantai rumah sewa aku, bergumpal-gumpal tikar getahnya, rumah sewa, so aku terima jelah seadanya.



Dari satu membiak jadi 4..hehe. Yang 3 lagi ni pun mintak mak mertua dan adik ipar yang belikan, tapi aku tak pakai pergi office lagi. Gigih aku pagi-pagi letak kerongsang dekat kain baju kurung, dah tak boleh nak zip, seluar kerja, memang dah tak boleh masuk pun, skinny jeans semua dah simpan, high heels pun dah simpan, pakai flat je sekarang, nak pakai wedges pun En. Syg tak kasi. Aku memang nak beli baju maternity yang boleh pakai even lepas bersalin pun, tu ingat nak beli nursing wear terus buat pakai masa pregnant, sebab kebanyakan nursing wear aku tengok cutting dia orang pregnant pun boleh pakai, jimat kan, boleh pakai sekali harung je, takdelah rugi nanti. Dah nak masuk 5 bulan baru aku start pakai maternity wear kot, so takdelah malu sangat nanti, En. Syg je bising suruh aku pakai jugak sebab dia takut anak dia tersepit..hehe. Padahal bukan anak dia yang tersepit, lemak bini dia ni hah yang tersepit, perut banyak lemak, sebab tu buncit mengalahkan 5 bulan. Oklah c u guys tomorrow ;p

Monday, October 17, 2011

Update Baby 2


Baby at 13 weeks 5 days

Masa scan ni elok pulak baby tengah berpusing 360 darjah dalam perut aku, satu pusingan dia buat. Nampak tangan kecik dia terkapai-kapai nak pusingkan badan. Nampak jugak tulang belakang, tulang lengan, tulang jari kecik-kecik pun nampak. Aku senyum je, En. Syg lah excited, dia cakap insaf bila tengok. Dah lahir nanti, mummy nak gigit jari kecik tu, geram. Semoga baby sihat dan sempurna..amin.